Najib pulang ke rumah, siapa ganti Anthony? | Sinar Harian
LAUNGAN 'Bossku' yang mengiringi kepulangan Datuk Seri Najib Tun Razak ke kediamannya di Langgak Duta pada Selasa bukan sekadar mencerminkan sokongan penyokong setia, malah membuka satu lagi episod baharu...
LAUNGAN 'Bossku' yang mengiringi kepulangan Datuk Seri Najib Tun Razak ke kediamannya di Langgak Duta pada Selasa bukan sekadar mencerminkan sokongan penyokong setia, malah membuka satu lagi episod baharu dalam landskap politik negara. Selepas lebih empat tahun menjalani hukuman di Penjara Kajang, bekas Perdana Menteri itu kini dibenarkan menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, perkembangan tersebut bukan bermakna Najib memperoleh kebebasan sepenuhnya kerana beliau masih tertakluk kepada syarat dan pemantauan sepanjang tempoh menjalani hukuman berkenaan. Di sebalik perkembangan tersebut, keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta turut memberi dimensi berbeza terhadap perkembangan politik semasa.
Tindakan Setiausaha Agung DAP itu dibuat selaras dengan pendirian parti yang membantah pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap Najib, sekali gus memperlihatkan kesan langsung isu berkenaan terhadap kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Malah, peletakan jawatan itu membuka ruang kepada kemungkinan perubahan dalam barisan Jemaah Menteri, khususnya bagi mengisi kekosongan portfolio Pengangkutan.
Persoalannya, adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran atau sekadar mengisi kekosongan jawatan berkenaan? Perkara itu menjadi lebih menarik apabila tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara turut bakal berakhir pada 11 Disember ini.
Bagaimanapun, Anwar pada Selasa menyifatkan masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet. Artikel Berkaitan: 'Ini Anthony Loke cakap serupa bikin, bukan macam Ka Siong' Bubar Parlimen: Kuasa di tangan Anwar, bukan TPM - Anthony Loke Tahanan di rumah: Laungan 'Bosku' sambut Najib 'pulang' 'Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, tapi bubar Parlimen' - Ahmad Zahid 'Apakah Ahmad Zahid mahu ulang episod sama?' - AMK Johor persoal cadangan bubar Parlimen UMNO sedia dedah maklumat Tabung Solidariti Najib - Ahmad Zahid Jika berlaku perubahan, ia bukan sahaja melibatkan soal pengisian jawatan kosong, malah turut menguji keseimbangan politik antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Dalam konteks ini, keputusan Anthony juga memperlihatkan bagaimana perbezaan pendirian terhadap sesuatu isu nasional boleh memberi kesan kepada struktur pentadbiran kerajaan. Kepulangan Najib ke rumah mungkin menjadi tumpuan penyokong dan pemerhati politik, namun perkembangan susulan yang melibatkan kedudukan Kabinet turut wajar diberikan perhatian.
Ini kerana persoalan yang lebih besar bukan sekadar siapa bakal menggantikan Ahli Parlimen Seremban itu, tetapi bagaimana Anwar memastikan kesinambungan pentadbiran dan kestabilan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi perkembangan politik seterusnya.
Article text via FreeNewsAPI. Rights remain with Sinar Harian.
Read on publisher site → Opens Sinar Harian in a new tab